Asas Beli Rumah Lelong

Lanjutan dari posting semalam, sejujurnya aku bukanlah cuba mengelak dari membuat perkongsian tentang lelong tetapi memandangkan sudah agak lama aku tidak berada di medan lelongan (kali terakhir adalah pada tahun 2005), maka adalah lebih baik sekiranya ianya dijawab oleh pakar-pakar lelong kita seperti Tuan Pie mahu pun Hafiz Ejen Lelong kerana mereka lebih mahir tentang prosedur terkini.

Namun, untuk tidak mencederakan emosi si penyoal yang jelita, maka poin-poin asas berikut aku sediakan untuk beliau rujuk :

  1. Tinjau/Cari rumah lelong idaman anda di akhbar, website mahu pun ejen-ejen lelong yang kredibel.
  2. Dapatkan salinan ‘Proclamation of Sale’ (POS) dan teliti serta fahami setiap klausa yang tertulis. Berikan lebih perhatian kepada klausa berkaitan caj dan pembayaran.
  3. Aturkan lawatan beserta tinjauan ke lokasi. Jika berpenghuni, tanya status penghuninya. Jika kosong, intai-intailah kondisi dalamnya. Taksirkan kos-kos pembaikan yang mungkin terlibat. Jangan lupa juga, berikan sedikit perhatian kepada kandungan post boxnya. Mana tahu kalau-kalau anda dapat ‘hidu’ sebarang tunggakan bil dari surat-surat yang tidak dikutip.
  4. Buat analisa kawasan tersebut terutama yang berkaitan dengan permintaannya. Kaji tentang keadaan infra beserta demografik setempat. Semak juga nilai semasa hartanah tersebut dan tetapkan ‘harga siling’ bidaan anda kelak. Ingat !! Jangan membida mengikut emosi.
  5. Lawati setiap jabatan berkaitan untuk mengesahkan jumlah tunggakan bil. Tidak dilupakan juga, lakukan sedikit carian berkaitan pemilik, pembiaya, sejarah transaksi dan juga kaveat (jika ada) di Pejabat Tanah.
  6. Setelah selesai kajian dan urusan berkaitan, beristikharahlah memohon petunjuk.
  7. Jika positif hasilnya, sediakan bank draft mengikut maklumat sepertimana yang tertulis dalam POS dan hadirlah seawal mungkin di tempat lelongan pada hari lelongan. Untuk memudahkan urusan, mungkin khidmat ejen amat dialu-alukan dan jika anda inginkan para ejen membida bagi pihak anda, sediakan surat wakil untuk mereka. Dinasihatkan juga agar anda meminggirkan diri dari khalayak pembida. Dikhuatiri anda bakal termakan dengan pujuk rayu mereka nanti.

Selamat membida.

5 Comments

  1. eyriqazz August 18, 2016
  2. KERETA SEWA SUBANG August 19, 2016
  3. Kereta Sewa Shah Alam August 19, 2016
  4. palm homestay putrajaya August 21, 2016
  5. umiadam August 23, 2016

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge