Seminar Hartanah Pahang : Super Pack !!

Nampaknya sudah 2 bulan blog aku tidak berupdate. Semuanya disebabkan kesibukan aku dengan tugas hakiki. Namun, aku cuba untuk kembali mengemaskini perkongsian kisah harian aku berkaitan dunia hartanah.

Aku sebetulnya baru sahaja pulang berseminar di Kuantan dan tahun ini merupakan tahun ke-4 aku menganjurkan siri jelajah hartanah aku. Sambutan kali ini, amat-amat mengujakan. Kelas aku super pack dengan peserta yang menjangkau 45 orang. Lebih dari 35 peserta yang aku sasarkan. Lebih mengujakan apabila ianya turut disertai oleh penuntut tahun 1 Diploma Pengurusan Hartanah salah sebuah universiti yang ada di sana. Komunikasi yang terhasil juga amat baik. Tiada komunikasi sehala dari aku. Lega !!

Dan berikut, sebahagian testimoni yang aku terima dari mereka yang hadir pagi tadi. Alhamdulillah, kesemuanya positif.

Jelajah ke Pantai Timur kali ini turut disertai oleh salah seorang Tim SLKK aku dari Kuching hasil pujukan dari aku. Saltihie Zeni namanya. Individu yang banyak membantu aku setiap kali aku berseminar di Sarawak. Perjalanan semalam bermula jam 10 pagi dan sempat kami berhenti di Temerloh untuk menikmati menu Patin yang begitu sinonim dengan lokasi tersebut.

Tidak seperti sebelumnya, kali ini kami sampai awal di Kuantan. Selepas melepaskan lelah di katil hotel, kami bergerak ke Pantai Teluk Cempedak untuk menikmati minum petang kami, air kelapa muda dan apabila suasana mula gelap, kami mula meneruskan perjalanan ke Tanjung Lumpur mencari menu makan malam kami. Dengan bantuan Pnut Long, Mail Seafood menjadi pilihan. Ternyata masakannya tidak mengecewakan dan hasilnya, tidur kami malam itu amat nyenyak sekali.

Dan hari ini, usai berakhirnya kelas aku, sekali lagi Pnut Long membawa kami ke Restoran Seri Hijrah untuk makan tengahari kami sebelum pulang. Seriously, inilah menu tengahari paling sedap yang pernah aku makan. 3 pinggan nasi aku bertambah. Tidak hairanlah, restoran ini menjadi tumpuan para kerabat diraja dan VVIP untuk bersantap. Menu patin, kelah, daging rusa, keli bakar beserta sayur-sayurannya memang lain dari yang lain dan sehingga entri ini ditulis, aku masih lagi kenyang dengan menu yang aku makan jam 3 petang tadi. Memang gila la penangannya.

Ternyata jelajah kali ini mengujakan kami yang pergi. Tak sabar nak tunggu seminar yang akan datang di sana.. hehehe.

3 Comments

  1. Ida widyani October 18, 2017
  2. NORIZA ABDUL RAHMAN October 20, 2017
  3. Amir Mazlan October 25, 2017

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge