Seminar Hartanah Sarawak : Final Part

Alhamdulillah. Segala perjalanan seminar pada hari itu berjalan lancar. Rata-rata yang hadir mengucapkan terima kasih di atas kesudian aku berkongsi ilmu di Kuching.

Selesai berseminar, aktiviti sampingan kami mulakan. Apa lagi jika bukan bersiar-siar sekitar Bandar Kuching dan destinasi tarikan utama pastinya bot penambang di Waterfront. Berbekalkan tambang RM1.00 pergi balik, Sungai Sarawak kami seberangi. Mira Cake House menjadi medan kami menjamu mata. Bukan awek yang menjadi santapannya, sebaliknya kek lapislah objeknya. Usai memborong, Laksa Sarawak dan Mee Kolok menjadi halwa tekak kami. Lokasi gerainya, pastilah di medan selera bersebelahan Mira Cake House tadi sebelum kami beransur pulang tepat jam 7 malam.

Di dalam bot penambang

Di dalam bot penambang

Sepertimana kami disambut mesra di Kota Kinabalu tempohari, sambutan yang sama juga kami rasa tatkala rakan peserta turut menjamu kami pada malam kedua. Destinasi pilihan yang dibawa oleh Cikgu Sarkawi dan Pensyarah Saltihie, tak lain tak bukan Kubah Ria di Satok. Nasi Aru merupakan menu malam itu dan bagi meregangkan otot-otot perut yang kekenyangan, Uptown Kuching kami dibawa. Berpeluh jugalah kami. Bukan setakat peluh berjalan, malah deretan ‘gegadis’ Bandar Kuching yang manis-manis turut merembeskan lagi jumlah peluh yang mengalir.. hehehe. Jam 12.30, kami sudah terbongkang di sofa lobi hotel. Tertidur sebelum dikejutkan untuk naik ke bilik.

Makan malam di Kubah Ria

Makan malam di Kubah Ria

Esoknya.

Masa untuk pulang. Jam 10.30 pagi kami telah dijemput oleh Cikgu dan Pensyarah yang sama. Makan pagi di Station One menjadi aturcara pemula. Menunya, Mee Jawa berlaukkan sate ayam. Asing, bukan?

Dan program terakhir sebelum ke airport, sekali lagi kami ke Waterfront. Pelbagai cenderamata/hati di bawa balik. Alhamdulillah, tidak seperti sebelumnya, kurang dari setengah jam kami telah mula keluar dari kedai-kedai cenderamata/hati tersebut dan menuju ke airport untuk pulang. Ternyata aktiviti kali ini benar-benar diisi dan pengalaman serta momen manis di sepanjang Seminar Hartanah Sarawak ini berlangsung pasti akan berbekas di hati aku sepanjang hayat.

Terima kasih orang Sarawak.

Wefie di Airport sebelum berangkat pulang

Wefie di Airport sebelum berangkat pulang

2 Comments

  1. myrujukan March 25, 2015
  2. siti hazreen March 25, 2015

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge